
Kakitangan Seruni Global Sdn Bhd bergambar di pelancaran rasmi Seruni Horizon 30 yang berlangsung di WORQ Event Space, Taman Tun Dr. Ismail.
KUALA LUMPUR, 26 September 2025 – Seruni Global Sdn. Bhd., sebuah syarikat F&B tempatan yang berkembang pesat dengan pelbagai jenama dalam portfolionya, mengumumkan pelancaran pelan perniagaan lima tahun yang dikenali sebagai Seruni Horizon 30. Dasar baru ini menjadi panduan jelas untuk terus berkembang, memastikan kelestarian, serta memperluas capaian di rantau ini, selaras dengan matlamat syarikat untuk menjadi peneraju industri F&B di ASEAN.
Untuk mencapai sasaran tersebut, Seruni Global memberi tumpuan kepada empat objektif utama iaitu pengembangan rangkaian ke 1,000 cawangan menjelang 2030 dengan sekurang-kurangnya 600 cawangan di Malaysia dan 400 di luar Malaysia, penyenaraian dalam Initial Public Offering (IPO) pada tahun 2027 untuk membuka nilai syarikat dan mengakses modal pertumbuhan, melipatgandakan hasil setiap cawangan menjelang 2027, serta membina platform pelbagai jenama F&B termasuk Kopi Saigon, Sambal Bakar, dan jenama baharu lain.
Antara kelebihan penyenaraian di IPO adalah mengukuhkan kehadiran pasaran dan reputasi, serta menyokong perkembangan melalui penggabungan dan pelaburan strategik. Langkah ini juga membuka akses kepada modal baharu yang penting untuk pertumbuhan jangka panjang. Syarikat juga merancang untuk memberi insentif yang lebih baik kepada kakitangan melalui skim faedah yang lebih kompetitif.
Sebagai persediaan, Seruni Global kini memperkukuh struktur organisasi, menambah kapasiti gudang dan pengeluaran, melabur dalam R&D, serta melaksanakan pensijilan ISO dan Halal untuk memastikan kualiti dan proses operasi berada pada tahap terbaik.
Ditubuhkan pada tahun 2021 semasa pandemik, Seruni Global berkembang daripada sebuah kiosk kecil kepada 217 cawangan di seluruh Malaysia dalam tempoh empat tahun. Dengan Seruni Horizon 30, syarikat ini kini melangkah ke fasa baharu, menempatkan dirinya sebagai sebuah kisah kejayaan Bumiputera yang bakal membanggakan negara di peringkat ASEAN.